Sekolah di zon hijau patut dibuka lebih awal, kata Maszlee

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik hari ini menegur pendekatan yang diambil oleh Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin berhubung pembukaan semula sesi persekolahan, yang menurutnya boleh dibuat lebih awal di beberapa tempat.

Maszlee berkata, pendekatan Radzi menjadikan pembukaan sesi persekolahan sebagai tindakan berpusat menyebabkan beberapa lokasi, khususnya di Sabah dan Sarawak yang dikategorikan zon hijau lebih awal berbanding negeri lain tidak dapat membuka sesi persekolahan mereka.

“Apa yang seharusnya dibuat oleh KPM ialah tidak menjadikan isu ini berpusat. Mereka di Putrajaya tidak faham apakah yang sebenarnya berlaku di Pulau Bumbung, (dan) sekolah Orang Asli di Sabah dan Sarawak.

“Sesetengah tempat yang tiada kes Covid-19, kenapa mereka perlu menerima nasib sama seperti kawasan yang berisiko tinggi. Kenapa tidak ada peluang untuk memulakan sesi persekolahan lebih awal,” katanya dalam siaran langsung di Facebook hari ini.

Perlis merupakan negeri pertama yang diisytiharkan sebagai zon hijau pada April selepas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan tidak ada jangkitan baru Covid-19 dikesan dalam tempoh 2 minggu.

Maszlee berkata, sewajarnya prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sekolah yang ketat dirancang lebih awal bersama-sama dengan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Seperti yang saya tahu, di sebuah pulau hanya ada 10 orang pelajar sahaja di sekolah berkenaan, tidak ada yang keluar masuk ke pulau berkenaan dan di pulau itu tidak ada kes Covid-19, jadi kenapa tidak mulakan sahaja sesi persekolahan?

“Sama juga dengan sekolah Orang Asli di Kelantan, Pahang dan Perak yang berada jauh di pedalaman. Kenapa tidak perkasakan sahaja guru-guru, persatuan ibu bapa dan murid berbincang sesama mereka, sama ada sesuai atau tidak untuk memulakan sesi persekolahan awal,” katanya.

Awal Julai, Radzi mengumumkan semua pelajar sekolah menengah serta murid Tahun 5 dan 6 akan memulakan persekolahan pada 15 Julai, termasuk pelajar di Tingkatan 6 semester 1 dan kelas peralihan. Manakala itu, murid Tahun 1 hingga 4 hanya akan memulakan persekolahan pada 22 Julai.