Derita hati di luar badan, bayi tiga bulan perlu bantuan
Usianya baru tiga bulan, tetapi adik Muhammad Ammar Sanudin terpaksa menanggung kesakitan apabila hatinya berada di luar badan.
Menurut laporan Harian Metro, ibunya Norliza Mohd Saaddan berkata bayi itu turut mengalami masalah jantung berlubang dan tidak mempunyai telinga kanan.
Wanita berusia 35 tahun itu berkata, Ammar memerlukan penjagaan rapi di rumah, malah hati anaknya itu perlu dibersihkan dua kali sehari untuk mengelakkan ia berbau.
Ibu kepada lima anak itu juga bercadang membawa Ammar untuk berjumpa doktor pakar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar minggu hadapan.
“Selepas itu barulah doktor akan tentukan rawatan lanjut untuk anak bongsu saya ini,” katanya yang menetap di Kampung Perik, Kuala Nerang, Padang Terap.
Bagi memenuhi keperluan, Norliza bergantung kepada suaminya, Sanudin Ibrahim yang bekerja sebagai penoreh getah selepas dia berhenti kerja sebagai pembantu kedai makan.
Pendapatan keluarga yang tidak menentu menyebabkan mereka pernah terputus bekalan makanan serta wang belanja untuk tiga anaknya yang masih bersekolah.
“Mujur ada saudara mara yang sentiasa membantu, anak ketiga saya Amni Qaisara, 8, juga menghidap jantung berlubang sejak kecil bagaimanapun Alhamdulillah dia dapat bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) RM200 sebulan.
“Wang ini sedikit sebanyak membantu untuk rawatan susulan Amni di HSB dan Hospital Pulau Pinang (HPP),” ujarnya.
Bagi individu yang berhasrat untuk memberi sumbangan, boleh berbuat demikian di nombor akaun Bank Islam 02039024871749 (Norliza) atau menghubunginya di talian 014-9421670.
Sumber: Harian Metro (Noorazura Abdul Rahman)